Seorang pengurus projek di Pertubuhan Peladang kawasan di Melaka direman enam hari kerana disyaki menyeleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) berjumlah RM2.54 juta.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Hurmain Hussain di Mahkamah Majistret Ayer Keroh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Suspek berusia 38 tahun yang memakai pakaian lokap SPRM dibawa ke perkarangan kompleks mahkamah sekitar jam 11 pagi dan keluar setengah jam kemudian.

Lelaki berkenaan yang bertugas di PPK Merlimau, Melaka ditahan sekitar 3 petang semalam di pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang negeri.

Suspek dipercayai membuat 23 tuntutan palsu melibatkan 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK negeri ini.

Dia dikatakan sudah menerima bayaran berjumlah RM1.33 juta.

Semua baja yang diperoleh sepatutnya diagihkan kepada peserta SBPKP.

Suspek bagimanapun menjual semula baja berkenaan untuk keuntungan peribadi.