SEREMBAN: Baru sahaja hendak menarik nafas lega, pengusaha kantin sekolah kini dibebani dengan masalah kenaikan harga barang mentah dan kekurangan pekerja.

Ia diakui seorang pengusaha kantin sekolah di Seremban, Mohd Suhaimi Hassan bahawa kedua-dua faktor itu menyebabkan kebanyakan pengusaha kantin tersepit untuk meneruskan operasi.

Mahu tak mahu, katanya, kebanyakan pengusaha kantin sekolah terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual.

“Kami baru saja nak rasa lega apabila sesi persekolahan sudah beroperasi seperti biasa, kini timbul pula masalah lain.

“Ingatkan bila dah boleh beroperasi seperti biasa, dapatlah tampung semula kerugian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tapi nak kena fikir masalah lain pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengenai masalah pekerja pula, beliau berkata, ramai tidak mahu lagi terus bekerja di kantin disebabkan situasi sesi persekolahan sebelum ini yang kerap kali ditutup.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila mereka diberi gaji harian dan bukan secara bulanan.

“Jadi mereka fikir bekerja di kantin sekolah ini berisiko dalam keadaan tidak menentu sekarang,” ujarnya.

Mohd Suhaimi yang sudah menjadi pengusaha kantin selama lapan tahun berkata, kenaikan harga bahan mentah membuatkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan.

Menurutnya, jika sebelum ini nasi lemak biasa dijual pada harga RM1, tetapi sekarang terpaksa dinaikkan RM2.

“Kita sangat tersepit. Kalau nak letak harga terlalu mahal, kasihan dengan pelajar. Saya pun ada anak bersekolah, sebab itu saya sangat memahami.

“Isu ayam mentah pun satu masalah. Pelajar kalau tiada menu ayam, mereka tak mahu makan. Kami memang tersepit,” katanya.

Tambahnya, selain bahan mentah, bekas makanan juga naik harga menyebabkan pengusaha kantin terpaksa menanggung kenaikan kos tersebut.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian