KOTA BHARU: Seorang peniaga dalam talian mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu di Balai Polis Kubang Kerian, Ahad lepas.

Muhammad Hadiq Hamdi Mohd Suhaimi, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu pada 12.37 tengah hari dengan mendakwa dia dirompak dua lelaki pada Sabtu lepas yang menyebabkan kerugian RM6,000 ketika berada di belakang sebuah bank dekat Kubang Kerian di sini.

Muhammad Hadiq Hamdi didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nik Nazriani Ab Rahman.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha menawarkan jaminan RM3,000 dan Nik Nazriani memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai peniaga dalam talian.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Hadiq Hamdi diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh jatuh hukum.

-- BERNAMA