Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Peniaga diberi amaran tidak kenakan syarat jual beli barang kawalan - KPDN

71707561071_AzmanAdam.jpg
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata peniaga juga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan sehingga menjejaskan kepentingan pengguna. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengenakan sebarang syarat terhadap pengguna dalam urusan jual beli barangan kawalan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata peniaga juga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan sehingga menjejaskan kepentingan pengguna.

Beliau berkata amaran itu susulan aduan diterima KPDN berhubung sebuah pasar raya di Semenyih, Selangor yang mengenakan syarat bagi pembelian minyak masak peket satu kilogram (kg).

“Aduan menyatakan pengguna diwajibkan membeli barangan lain di pasar raya itu dengan nilai sekurang-kurangnya RM300 jika ingin membeli minyak masak peket satu kg.

“Sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN bertindak atas aduan terbabit dan melakukan penyamaran dengan berpakaian preman untuk melaksanakan uji beli di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata hasil uji beli mendapati pegawai KPDN dikenakan syarat supaya membeli barangan lain sebelum dibenarkan membeli minyak masak peket berkenaan.

"Pegawai KPDN telah membeli barangan lain berjumlah RM303.65 sebelum dibenarkan membuat pembelian 17 peket minyak masak satu kg pada harga keseluruhan RM42.50. Transaksi dan kejadian itu turut dirakam bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata KPDN menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana disyaki mengenakan syarat dalam urusan penjualan barang kawalan berjadual.

Beliau berkata sejumlah minyak masak peket, dokumen perniagaan, resit transaksi serta barangan berkaitan uji beli turut disita untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan RM104.

Azman berkata KPDN akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement