Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan seorang peniaga Wan Rusli Zain, daripada dua pertuduhan, melakukan ugutan terhadap pekerja dan khianat terhadap restoran nasi kandar Deen Jelutong, di sini, Ogos lepas.

Majistret Catherine Nicholas membuat keputusan itu selepas mendapat arahan daripada Ketua Unit Pendakwaan.

Wan Rusli, 49, didakwa telah menakutkan pekerja restoran itu Abdul Alim Habib Rahuman, 33, dengan ugutan dan menyebabkan kebinasaan harta di restoran nasi kandar Deen Jelutong, pada pukul 12.20 tengah malam, 26 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Rusli didakwa melakukan khianat iaitu sengaja mendatangkan bencana ke atas mesin tunai dan cermin rak makanan di restoran itu menyebabkan kerugian RM3,000 pada masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin.

Wan Rusli yang memakai kemeja-T dan berseluar jeans dengan keadaan tangan kanan yang masih berbalut kelihatan lega sebelum meninggalkan mahkamah selepas keputusan dibacakan. -- BERNAMA