Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyeru peniaga supaya mengambil langkah inovatif dengan meneroka perniagaan digital bagi memastikan pengedaran bekalan makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih lancar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, inisiatif pengedaran bekalan makanan menerusi platform baharu seperti konsep jualan dalam talian di portal Agrobazaar Online adalah amat digalakkan.

"Kita juga sentiasa bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain dalam memastikan perkhidmatan logistik, pengangkutan, premis dan kilang yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran makanan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh ini," katanya di sini pada Rabu.

Dalam pada itu Ronald memberitahu, bekalan barang makanan termasuk beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan stabil dan mencukupi.

Ekoran itu, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik atau menyimpan stok makanan secara berlebihan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru petani, nelayan dan penternak supaya terus meningkatkan produktiviti namun pada masa sama mengambil langkah penjagaan kesihatan setiap masa.

"Semua usaha dan langkah kerajaan ini adalah untuk memastikan kelangsungan ekosistem rantaian bekalan makanan terjamin serta makanan sampai kepada pengguna dalam tempoh masa segera dalam keadaan segar," jelasnya.