AYER KEROH: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menipu pembelian lampin pakai buang bernilai lebih RM800,000 pada 2016.
 
Tertuduh, Mohd Azizie Wahab, 37, membuat pengakuan itu selepas 26 kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Nariman Badruddin.
 
Mengikut pertuduhan, Mohd Azizie dikatakan memperdayakan Suriana Hussain, 37, dalam urusan pembelian lampin pakai buang sehingga mendorong wanita terbabit memasukkan wang berjumlah RM838,474 ke akaun yang menggunakan nama dua syarikat milik tertuduh.
 

Perbuatan dilakukan di depan sebuah bank di Ayer Keroh, Melaka antara 19 Mei hingga 11 Jun 2016.
 
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan.
 
Sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.
 
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Fazrin Ahmad.
 
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM78,000.
 
19 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula.