Seorang peniaga nyaris kerugian RM20,000 selepas berdepan detik hampir disamun oleh sekumpulan lelaki selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di sini pada 1.30 tengah hari, Ahad.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 29 tahun itu baru mengeluarkan wang daripada sebuah institusi perbankan di bandaraya ini dengan ditemani isteri serta seorang anaknya yang masih kecil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K Manoharan berkata ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Bukit Tunggal, di sini, mangsa menyedari dia telah diekori oleh sebuah motosikal.

"Namun setelah beberapa meter meneruskan perjalanan mangsa menyedari tayar keretanya pancit dan turun dari kereta dan melihat terdapat paku pada tayar keretanya.

"Semasa mangsa turun untuk melihat keadaan tayar keretanya dia didatangi lelaki yang sama tidak lama kemudian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini Isnin.