KUALA NERUS: Peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) secara serentak di tiga daerah di Terengganu perlu diberi perhatian kerana keadaan itu menunjukkan kemungkinan berlaku pengangkutan pencemar pada skala lebih luas, selain berpunca daripada sumber tempatan.
Pakar kualiti udara Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Madya Azman Azid berkata kualiti udara di Terengganu terus merosot apabila tiga stesen pemantauan di Paka, Kuala Terengganu dan Kemaman mencatat bacaan melebihi 150.
Beliau berkata ia memberi isyarat bahawa faktor meteorologi dan pengangkutan pencemar serantau perlu diteliti, bukan sekadar sumber pencemaran setempat, selain perhatian khusus kepada episod jerebu memandangkan zarah tersebut boleh kekal di atmosfera dan bergerak pada jarak jauh mengikut keadaan angin serta cuaca.
"Kita tidak boleh melihat satu stesen sahaja. Apabila stesen Paka, Kemaman dan Kuala Terengganu mencatat IPU lebih 150 pada waktu sama, pola ruang dan masa pencemaran itu menjadi sangat penting untuk dianalisis.
"Zarah halus berdiameter 2.5 mikrometer (PM2.5) perlu diberi perhatian khusus ketika episod jerebu kerana ia boleh kekal di atmosfera dan bergerak pada jarak jauh, bergantung kepada keadaan angin serta cuaca," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata paparan dan hasil keluaran Malaysian Community Air Quality Model (MyCMAQ) juga wajar dinilai bersama bacaan IPU semasa bagi membantu mengenal pasti taburan serta kemungkinan pergerakan pencemar atmosfera di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Selain itu, beliau berkata penentuan sumber pencemaran juga perlu disokong beberapa lapisan bukti termasuk lokasi dan bilangan titik panas di Sumatera serta Kalimantan, imej satelit kepulan asap, arah dan kelajuan angin, keadaan meteorologi serta analisis 'backward trajectory' bagi menjejaki laluan jisim udara sebelum sampai ke Pantai Timur Semenanjung.
"Sekiranya semua data berkenaan menunjukkan pola yang konsisten, asas saintifik lebih kukuh dapat diperoleh bagi menentukan kemungkinan sumbangan jerebu rentas sempadan.
"Berdasarkan rujukan MyCMAQ dan keadaan pencemaran serantau, terdapat kemungkinan episod yang kita lihat mempunyai komponen pengangkutan pencemar rentas sempadan. Namun kita tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa pencemaran yang berlaku di Terengganu pagi ini datang sepenuhnya dari Indonesia berdasarkan satu model atau bacaan IPU," katanya.
Pada masa sama, Azman turut menekankan kepentingan mengintegrasikan data sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), MyCMAQ, data titik panas satelit, meteorologi dan analisis trajektori dalam sistem komunikasi risiko yang mudah difahami masyarakat.
"IPU memberitahu kita keadaan udara sekarang, manakala model ramalan pula sepatutnya membantu kita menjangka apa mungkin berlaku dalam tempoh 24 jam, 48 jam atau 72 jam. Sekiranya maklumat ini dapat diterjemahkan kepada amaran risiko mudah difahami, pihak sekolah, hospital dan masyarakat boleh membuat persediaan sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA