KUALA LUMPUR:Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta ke atas bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3.09 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika menjatuhkan hukuman berkata, hukuman penjara enam tahun adalah untuk setiap satu pertuduhan, namun ia berjalan serentak.

Selain itu, beliau mengenakan denda RM15.45 juta, yang dipecahkan kepada sembilan pertuduhan ke atas bekas Menteri Negeri Sembilan itu.

Mohd Isa, 72, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 Disember 2018 sebelum kes itu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bermula 8 Oktober tahun lalu.

BACA: Rasuah: Isa Samad dijatuhi hukuman 6 tahun penjara dan denda RM15.45 juta

Berikut adalah kronologi kes beliau:

PERTUDUHAN:
Beliau dituduh menerima wang secara berperingkat sebagai ganjaran membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mohd Isa dituduh menerima wang tersebut daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

14 Disember 2018: Didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah. Mohd. Isa mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

4 April 2019: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur benarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

11 April 2019: Sebutan Kali pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

8 Oktober 2019: Perbicaraan bermula.

14 Januari 2020: Pendakwaan tutup kes. Perbicaraan peringkat pendakwaan berlangsung selama 15 hari.
20 Mei 2020: Hujahan akhir pendakwaan.

16 Jun 2020: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mohd Isa untuk membela diri atas sembilan pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan segala intipati pertuduhan.

Bagaimanapun mahkamah melepas dan membebaskan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu daripada pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.


Rasuah | Isa Samad bersalah atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta

17 Ogos 2020: Mohd Isa mula memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi.

3 September 2020: Pembelaan menutup kes selepas memanggil enam orang saksi.

24 Disember 2020: Hujahan di akhir kes pembelaan.

3 Februari 2021: Keputusan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta kepada beliau.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Mohd Isa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Mahkamah turut membenarkan jaminan berjumlah RM1.5 juta oleh pemohon untuk dibayar sebelum 2 petang Khamis.

TERKINI | Mahkamah Tinggi benarkan penangguhan hukuman Isa Samad