Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Hukuman itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman selepas tertuduh, Muhammad Firdaus Wong Abdullah, 44, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh juga diarahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukuman penjara nanti.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa
di sebuah rumah di Batu Burok, di sini antara pukul 8.30 hingga 10.30 malam, pada 6 Febuari lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Selain itu tertuduh turut berdepan dengan satu pertuduhan merogol dan dua pertuduhan meliwat dua beradik.

Tertuduh bagaimanapun mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.