MALAYSIA
Penjawat awam berkhidmat untuk rakyat, bukan hanya kerajaan - Abang Johari

Abang Johari berkata integriti, ilmu pengetahuan serta keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab merupakan kunci utama. - Bernama
KUCHING: Penjawat awam tidak seharusnya melihat tugas mereka sekadar memenuhi tanggungjawab terhadap kerajaan sebaliknya ia adalah amanah untuk rakyat, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata integriti, ilmu pengetahuan serta keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab merupakan kunci utama bagi memastikan setiap perancangan kerajaan negeri dapat memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Kerja (penjawat awam) kita bukan hanya untuk kerajaan, bukan hanya untuk masyarakat, tetapi untuk ketamadunan manusia. Dengan ilmu, integriti dan ikhlas, barulah tugas kita memberikan ganjaran sebenar, bukan sekadar ganjaran wang ringgit tetapi ganjaran yang tidak ternilai daripada Tuhan," katanya ketika merasmikan Hari Integriti Sarawak 2025 di sini hari ini.
Menurut beliau, budaya integriti yang diterapkan menerusi penganjuran Hari Integriti Sarawak setiap tahun sejak enam tahun lepas telah memberikan keyakinan untuk kerajaan negeri memperkukuh pelbagai inisiatif pembangunan berbentuk baharu.Katanya inisiatif itu termasuk projek infrastruktur besar, ekonomi digital, pembangunan tenaga hijau serta transformasi pertanian moden.
Abang Johari berkata Sarawak dikurniakan kekayaan sumber semula jadi seperti sungai, air dan gas yang harus diuruskan dengan ilmu serta amanah supaya menjadi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat.
"Kita gunakan air bukan sekadar untuk diminum tetapi dengan ilmu ia boleh menghasilkan hidrogen, tenaga paling bersih yang tidak menjejaskan alam sekitar. Kita mahu semua ini kembali kepada rakyat dalam bentuk kemudahan, kesihatan dan kehidupan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata pembangunan ekonomi negeri bukan hanya bertujuan meningkatkan pendapatan kerajaan tetapi manfaatnya perlu sampai kepada isi rumah khususnya golongan yang berpendapatan rendah di Sarawak.
"Sebab itu, bermula 2026, anak-anak nelayan dan petani yang layak masuk universiti milik kerajaan negeri akan diberi pendidikan percuma (oleh kerajaan Sarawak), supaya dengan ilmu mereka dapat membantu keluarga serta meningkatkan taraf hidup," katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Muhammad Abdullah Zaidel.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami