SARIKEI: Prestasi hasil Sarawak bagi enam bulan pertama tahun ini agak memberangsangkan dan antara yang tertinggi pernah dicatatkan bagi tempoh sama, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tanpa mendedahkan jumlahnya, beliau berkata pencapaian itu memberikan keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri.
"Mengikut laporan yang saya terima bagi enam bulan pertama, ia agak memberangsangkan. Saya tidak dapat dedahkan angkanya sekarang, tunggulah masa pembentangan bajet.
"Tetapi hari ini saya berani umumkan bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pihak lain yang bekerja kuat kerana saya sudah melihat semua angka itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 di sini hari ini.
Abang Johari berkata angka sebenar kutipan hasil dan unjuran pendapatan negeri akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Sarawak akan datang.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada pembangunan Sarikei hingga 2030 melalui sektor pelancongan, ekonomi hijau dan pertanian bernilai tinggi.
Beliau berkata kawasan hutan paya bakau yang luas di Sarikei berpotensi menjadi aset penting dalam ekonomi karbon global, selain pembangunan infrastruktur termasuk usaha memanjangkan landasan Lapangan Terbang Tanjung Manis bagi membolehkan pesawat ATR beroperasi.
Abang Johari berkata ketibaan pesawat ATR baharu AirBorneo yang dikonfigurasikan untuk penerbangan domestik akan membantu memperkukuh jaringan udara dan merancakkan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengumumkan penambahan 10 mesin dialisis di Hospital Sarikei susulan peningkatan kes diabetes di daerah berkenaan.
-- BERNAMA