KUALA TERENGGANU: Seramai 14,457 penjawat awam di Terengganu akan menerima bonus sebanyak RM2,000 pada tahun ini sebagaimana diumumkan oleh kerajaan Pusat sebelum ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, bayaran bonus tersebut akan dibuat pada Mac depan sama seperti yang diterima oleh kakitangan awam di seluruh negara.

"Saya tahu ramai (penjawat awam Terengganu) tertunggu-tunggu pengumuman bonus... kita dah buat ketetapan.

"Seperti kata Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) sebelum ini bahawa bonus itu akan diberi secara pentadbiran.

"Jadi kalau ikut pentadbiran, kita ikut seperti apa yang disarankan oleh kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM2,000. Ia dah ditetapkan.

"Tunggu masa, sebelum atau pada Mac sebagaimana yang ditetapkan dalam pekeliling Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Hari Pangkalan Data Utama (PADU) Bersama Penjawat Awam Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Sait Yaman.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri menyatakan, agihan bonus kepada penjawat awam Terengganu akan diumumkan selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember 2023.

Katanya, langkah itu diambil kerana mahu lebih berhati-hati bagi mengelakkan timbul sebarang isu yang boleh dikaitkan dengan rasuah pilihan raya.

Menteri Besar Terengganu itu turut memberi bayangan bahawa jumlah bonus tersebut akan jauh lebih besar nilainya berbanding bonus yang diberi pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM900.

Isu mengenai agihan bonus kepada penjawat awam di Terengganu mula dipolemikkan apabila ia tidak diumumkan seperti biasa melalui Belanjawan Terengganu 2024 yang dibentang pada 27 November tahun lalu. - Sinar Harian