KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan Mahkamah Rayuan The Haque di Belanda menolak permohonan Kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia membuktikan bahawa tuntutan mereka tidak mempunyai locus standi.

Hajiji, yang menyambut baik keputusan itu, berkata ia turut mengesahkan pendirian kerajaan yang tidak mengiktiraf tuntutan kumpulan tersebut.

"Sabah berkongsi keyakinan Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kita semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya award itu selepas keputusan ini," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana mengambil tindakan yang tegas untuk berdiri teguh dalam melindungi kedaulatan Malaysia.

"Kerajaan Negeri akan terus menjalin kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan sehingga apa yang digelar sebagai Tuntutan Sabah itu dibatalkan," katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda hari ini menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata kemenangan itu juga adalah kegagalan bagi pihak yang cuba memanipulasi sistem serta proses keadilan antarabangsa untuk kepentingan mereka.

"Komitmen tinggi Perdana Menteri dan seluruh ahli pasukan yang terlibat memperjuang hak dan kepentingan tanah air wajar diberikan penghargaan tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahli Parlimen Papar itu berkata pada masa sama, beliau menyeru semua pihak agar memahami dan mengambil teladan daripada kes itu dengan tidak bersikap sambil lewa dalam perkara yang boleh menyentuh soal integriti serta kedaulatan tanah air.

"Kadangkala kita tidak sedar kenyataan dan tindakan kita boleh membuka ruang dan mencetuskan asas bagi pihak luar memanipulasi forum antarabangsa untuk kepentingan mereka serta menggugat kepentingan nasional," katanya.

Bagi Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat Datuk Peter Anthony, kejayaan itu sangat penting untuk Sabah dan berharap award akhir yang tidak sah serta disalahgunakan oleh pihak yang menuntut dengan jumlah hampir AS$15 bilion di Paris akan dibatalkan sepenuhnya.

"Isu tuntutan Sulu telah menghantui kita sejak sekian lama termasuk peristiwa berdarah yang berlaku di pantai timur Sabah pada 2013.

"Kami juga berharap dan berdoa agar isu tuntutan oleh pihak yang kononnya waris Kesultanan Sulu akan dinoktahkan selepas ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu.

Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Rina Jainal, yang juga ADUN Kukusan, pula berharap susulan kemenangan itu, tiada lagi pihak cuba mempolitikkan isu tersebut sebaliknya rakyat perlu bersatu hati menjaga keselamatan Sabah.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong pula berkata beliau yakin keputusan akan memihak kepada Malaysia kerana tuntutan itu sendiri adalah tidak berasas serta tidak sah.

"Oleh itu, saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Belanda. Sebagai rakyat Sabah dan warganegara Malaysia, tiada keraguan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Noktah," kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu sambil menambah pihak yang menuntut perlu menghormati kedaulatan Malaysia dan menghentikan tuntutan remeh sedemikian.

-- BERNAMA