Skip to main content

Malaysia

Penolong Jurutera JKR maut terkena kabel ketika selenggara jalan

Mangsa maut selepas dipercayai terkena kabel telekomunikasi yang tertanggal akibat tersangkut pada muatan sebuah treler di KM71.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu semalam. Gambar kecil: Mohamed Fitri Aslam. - Foto Sinar Harian
Mangsa maut selepas dipercayai terkena kabel telekomunikasi yang tertanggal akibat tersangkut pada muatan sebuah treler di KM71.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu semalam. Gambar kecil: Mohamed Fitri Aslam. - Foto Sinar Harian
Advertisement

GERIK: Seorang Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) maut selepas dipercayai terkena kabel telekomunikasi yang tertanggal akibat tersangkut pada muatan sebuah treler di Kilometer 71.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini semalam.

Mangsa, Mohamed Fitri Aslam Mohamed Jamaludin, 41, yang bertugas di JKR Hulu Perak itu disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika kerja-kerja penurapan semula jalan sedang dijalankan oleh pekerja syarikat konsesi penyelenggaraan jalan yang berkenaan di lokasi kejadian.

Advertisement

Menurutnya, kejadian dipercayai bermula apabila sebuah lori membawa muatan tar mengangkat bahagian badan muatannya (dump body) untuk menurunkan tar ke atas permukaan jalan.

"Selepas selesai menurunkan muatan, bahagian badan lori berkenaan tersangkut pada kabel sebuah syarikat telekomunikasi yang merentangi jalan ketika diturunkan semula ke kedudukan asal.

Advertisement

"Keadaan itu menyebabkan kabel berkenaan tertarik, kendur dan berjuntai pada paras lebih rendah daripada ketinggian asal," katanya dalam kenyataan semalam.

Abdul Samad berkata, sebelum kabel tersebut sempat dikeluarkan, sebuah lagi treler jenis Hino membawa muatan mesin padi dari arah Gerik menghala ke Kuala Kangsar melalui lokasi kejadian yang kemudian tersangkut pada kabel berkenaan sehingga menyebabkannya tertarik dan tertanggal daripada tiang.

Katanya, kabel yang tertanggal itu dipercayai terkena mangsa  menyebabkan kecederaan di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Beliau berkata, treler terbabit turut ditahan bagi menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan keselamatan serta peka terhadap keadaan persekitaran, khususnya ketika melalui kawasan kerja penyelenggaraan jalan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement