Pensyarah UIA maut dijerut: Suspek utama dituduh esok - Polis

Suspek utama kes pembunuhan seorang pensyarah universiti tempatan pada Julai lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pada Selasa.

Suspek yang dipercayai suami kepada seorang pensyarah dibawa ke lokasi untuk mencari bahan bukti di Tasik Taman Putra Perdana Putrajaya sebelum ini. - Foto BERNAMA | Astro Awani
Suspek utama kes pembunuhan seorang pensyarah universiti tempatan pada Julai lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pada Selasa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, kertas siasatan terhadap kes itu telah selesai dan arahan pertuduhan telah diberikan oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Kertas Siasatan telah mendapat arahan tuduh daripada Pejabat TPR Selangor pada 10 Ogos 2020 (Isnin). Suspek seorang lelaki Melayu berumur 41 tahun yg merupakan bekas suami (dalam proses daftar penceraian) kepada si mati akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Sepang pada 11 Ogos 2020 (Selasa)," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

BACA: Kes bunuh pensyarah selesai, motif dikenal pasti - Polis

BACA: Curiga pasangan ada 'kekasih gelap' punca pensyarah minta cerai

Suspek berusia 41 tahun itu telah direman sehingga 6 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 30 Julai lalu, polis menemui mayat wanita berusia 40 tahun itu berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang.

Mangsa adalah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).



Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin sebelum ini berkata motif pembunuhan telah dikenal pasti dan siasatan kes itu telah selesai.