KOTA KINABALU: Para pentadbir sekolah diberikan kuasa untuk menutup sekolah sekiranya suhu melebihi 37 darjah celcius untuk tiga hari berturut-turut, kata Exco Pendidiksan Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu lagi, kerajaan negeri menerima saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menutup sekolah jika suhu melebihi 37 darjah celcius selama tiga hari berturut-turut.

"Pentadbir (pengetua dan guru besar) perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa di kawasan sekolah.

"Situasi kedua (amaran kedua) suhu melebihi 37 darjah celcius tiga hari berturut dan diisytiharkan gelombang haba oleh MET Malaysia, pentadbir boleh menutup sekolah atau institusi pendidikan," ujar Arifin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Sementara itu bagi suhu melebihi 35 darjah celcius sehingga 37 darjah celcius, Arifin menggesa pentadbir agar menghentikan semua aktiviti luar darjah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Beliau turut mengingatkan para pentadbir yang ingin menutup sekolah agar memaklumkan ibu bapa lebih awal secara bertulis selain katanya Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan turut bekerjasama memaklumkan situasi semasa berkaitan fenomena gelombang haba di negeri berkenaan.

Setakat hari ini semua sekolah di Sabah masih berjalan seperti biasa dengan meminimakan aktiviti luar bilik darjah.