SUNGAI PETANI: Seorang penternak lembu ditemui mati selepas dipercayai ditikam dan ditembak di Estate Kongsi di Jalan Bukit Selambau, malam tadi.

Ketika kejadian, mangsa berusia 38 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak tiga kilometer dari kandang lembu miliknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam di mana ketika itu mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersendirian.

Katanya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.30 malam memaklumkan penemuan satu mayat lelaki berlumuran darah terbaring di bahu jalan.

Menurut Adzli, siasatan awal polis mendapati terdapat kesan luka di dada mangsa dipercayai akibat tembakan dan tikaman.

"Pemeriksaan awal kita dapati ada kesan darah, kita percaya ada kemungkinan luka tembakan," katanya.

Polis turut menemukan kelongsong peluru di tempat kejadian.

"Siasatan awal kita tengok dia ada rekod jenayah dan motif kita tak tahu lagi.

"Kita perlu proses tempat kejadian termasuk mangsa ini, dan kita sedang siasat lebih lanjut latar belakangnya," kata Adzli.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.