IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak mengesahkan kejadian seorang lelaki telah diserang sekumpulan lelaki dan mengalami kecederaan parah, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di Taman Pengkalan Jaya, di sini.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mangsa yang berumur 26 tahun, telah didatangi sekumpulan lima lelaki menaiki dua buah kereta, semasa berada di kandang lembu miliknya.
“Suspek kemudiannya telah mengejar dan menyerang mangsa.
“Mangsa yang cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Kinta telah ditetak menggunakan parang oleh salah seorang suspek, menyebabkannya cedera di bahagian muka, tangan, kaki dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, mangsa telah dibantu oleh orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Mohd Alwi, hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan dendam dan tidak puas hati oleh kumpulan jenayah terhadap mangsa.
Katanya, pihak polis memandang serius kejadian itu dan telah membuat tangkapan terhadap 11 lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Kesemua yang ditangkap berumur antara 22 hingga 41 tahun dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampaju melibatkan kesalahan dadah dan jenayah,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua mereka telah direman bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut serta penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.
Mohd Alwi berkata, PDRM komited memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan meneruskan operasi pencegahan serta penguatkuasaan secara bersepadu bagi membenteras segala bentuk ancaman dan kegiatan jenayah terancang.