Skip to main content

Malaysia

Penubuhan ICAD pastikan badan kehakiman kekal seiring dengan perdagangan moden - Majlis Peguam

51752830765_MohamadEzriAbdulW.jpg
Mohamad Ezri berkata sistem penyelesaian pertikaian komersial yang kukuh dan berwibawa mampu meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong aspirasi Malaysia untuk kekal sebagai hab perniagaan kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Penubuhan Bahagian Komersial dan Admiralti Antarabangsa (ICAD) mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang serta memastikan institusi kehakiman berkembang seiring dengan tuntutan perdagangan moden.

Presiden Majlis Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata sistem penyelesaian pertikaian komersial yang kukuh dan berwibawa mampu meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong aspirasi Malaysia untuk kekal sebagai hab perniagaan kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa.

Advertisement

“Majlis Peguam menyokong inisiatif progresif yang mampu mempertingkatkan pentadbiran keadilan serta memperkukuh infrastruktur perundangan Malaysia.

“Penubuhan ICAD menandakan satu langkah konstruktif dalam memastikan institusi kehakiman Malaysia kekal responsif, memiliki kepakaran khusus dan mampu menangani pertikaian komersial yang semakin kompleks seiring dengan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata transaksi komersial moden pada masa ini semakin melibatkan pihak multinasional, pembiayaan berstruktur serta pengaturan kontrak yang rumit merentasi beberapa bidang kuasa, sekali gus memerlukan mahkamah yang mampu mengadili pertikaian dengan kepakaran, kecekapan dan kepastian.

Beliau berkata dengan menumpukan kepakaran dalam forum khusus, ICAD berupaya menyediakan platform yang canggih dan responsif bagi menyelesaikan pertikaian komersial dan admiralti antarabangsa termasuk tuntutan kontrak rentas sempadan, hal berkaitan maritim serta isu penguatkuasaan yang timbul daripada transaksi perniagaan antarabangsa.

Mohamad Ezri berkata mahkamah khusus turut memainkan penting dalam meningkatkan kecekapan sistem kehakiman dengan membolehkan kes kompleks diurus secara aktif dan didengar oleh hakim yang memiliki kepakaran dalam bidang berkaitan.

 “Ia juga menyediakan tahap kepastian dan ketepatan masa yang lebih tinggi dalam penyelesaian pertikaian, yang merupakan faktor kritikal bagi perniagaan dan pelabur ketika menentukan lokasi aktiviti komersial mereka serta kaedah penyelesaian pertikaian,” katanya.

Beliau berkata Majlis Peguam menantikan kerjasama dengan badan kehakiman dan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam memastikan perkembangan penting berkenaan memberi sumbangan signifikan kepada kemajuan berterusan sistem perundangan Malaysia serta mengukuhkan reputasi sebagai forum yang dipercayai dalam penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa.

 -- BERNAMA

Must Watch Video