KUALA LUMPUR: Penubuhan tiga jawatankuasa dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan dilihat amat wajar dan adil untuk mewakili pandangan keputusan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan.

Demikian kata Penganalisis Politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Bilcher Bala yang memuji keputusan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti kerajaan. 

“Kerajaan Perpaduan adalah gabungan parti politik berlainan falsafah memandangkan sebelum ini gabungan parti ini bermusuh antara satu sama lain.

“Oleh kerana itu, hal pandangan keputusan dilihat amat sensitif. Nama Kerajaan Perpaduan itu nyaman, tetapi hakikatnya adalah Kerajaan Campuran.

“Justeru, pandangan satu pihak parti sahaja tidak boleh mewakili pandangan keputusan pihak kerajaan. Apatah realiti Perdana Menteri ke-10 adalah dari satu pihak parti. Maka dengan wujudnya sekretariat, saya lihat amat wajar dan mewakili pandangan keputusan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan secara adil,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi, hari ini

Dalam pada itu, Bilcher turut memberi contoh situasi baharu berlaku iaitu insiden membakar kitab suci al-Quran di Sweden, Stockholm, bulan lalu.

“Saya ambil contoh isu berkenaan. Pandangan keputusan harus dikeluarkan daripada sektretariat dan bukan Kementerian Luar yang diketuai menteri daripada parti tertentu.

“Ini termasuk isu agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) juga dapat diselaraskan oleh sekretariat agar mengelak perselisihan komponen parti. Begitu juga isu kos hidup rakyat.

“Pendek kata, Perdana Menteri guna strategi pengurusan politik melalui sekretariat agar jika pandangan keputusan salah dan benar bukanlah dari beliau tetapi dari kolektif kerajaan melalui Sekretariat Perpaduan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan penubuhan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.