Skip to main content

Malaysia

Penumpang asing kali pertama tiba di LTAPP perlu guna kaunter manual imigresen

81636524150_LTAPP.jpg
Sistem pagar automatik yang baru dipasang di LTAPP hanya disediakan kepada pelancong yang memasuki Malaysia lebih daripada sekali. - Gambar fail

GEORGE TOWN: Penumpang asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) buat kali pertama dikehendaki menjalani pemprosesan secara manual di kaunter imigresen bagi merekodkan maklumat biometrik mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai.

Beliau berkata sistem pagar automatik yang baru dipasang di lapangan terbang itu hanya disediakan kepada pelancong yang memasuki Malaysia lebih daripada sekali manakala kanak-kanak dan pengguna kerusi roda juga perlu menggunakan kaunter manual kerana kamera pada pagar automatik itu dipasang mengikut ketinggian yang dihadkan sesuai untuk individu dewasa.

Advertisement

“Saya telah melakukan tinjauan di balai ketibaan antarabangsa dan menjalankan ujian perintis bagi sistem pagar automatik baharu. Kita telah menjemput 100 pelawat dari Singapura, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis yang sedang beratur untuk menguji pagar automatik baharu itu.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Kebanyakan mereka berjaya melepasi pagar automatik dalam tempoh yang singkat. Sebahagian lain tidak dapat melaluinya dan terpaksa ke kaunter manual memandangkan mereka kali pertama tiba di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata beliau turut mempengerusikan mesyuarat antara jabatan antara Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta pasukan pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu NasionaL (MyNIISE) di LTAPP semalam.

Beliau berkata satu lagi pusingan ujian penerimaan pengguna (UAT) akan dilaksanakan hari ini dan jika sistem berkenaan disahkan dan lulus, pagar automatik baharu akan dibuka kepada pelawat dari 63 negara.

Pada 7 Feb lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata isu kesesakan di LTAPP wajar diberi perhatian segera oleh pihak berkaitan bagi memastikan kelancaran pengurusan penumpang dan mengekalkan imej negeri ini sebagai destinasi pelancongan.

Menurut Chow, kesesakan berkenaan dikaitkan dengan sistem baharu yang masih dalam fasa penyesuaian, selain ketibaan penerbangan dalam tempoh hampir serentak.

Dilaporkan peningkatan kekerapan penerbangan dari China dan ketibaan yang dijadualkan rapat telah dikenal pasti sebagai punca kesesakan di kaunter imigresen lapangan terbang itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video