TANGKAK: Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori sebelum terbakar di Jalan Muar Sungai Mati, Parit Bunga di sini pada Jumaat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.05 pagi.

Katanya, 17 anggota dari BBP Tangkak dan BBP Muar bersama dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan melanggar sebuah motosikal yang tidak dapat dikenal sebelum diseret sejauh 300 meter.

"Kemalangan mengakibatkan kedua-dua buah kenderaan tersebut terbakar. Penunggang motosikal merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri selepas lori terbakar.

Beliau memberitahu, kebakaran itu memusnahkan 90 peratus lori termasuk motosikal tersebut dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN