Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah kereta di Kilometer 108.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Tol Sungai Petani, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dipercayai terjatuh atas jalan selepas motosikalnya terbabas.

Sebuah kereta yang datang dari arah belakang kemudian melanggar dan menyeret mangsa kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata laluan yang gelap dipercayai punca pemandu kereta Proton Saga BLM berkenaan tidak nampak mangsa yang terbaring di atas jalan.

Akibat rempuhan, mangsa berusia 21 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, kata Adzli.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.