Penyanyi nasyid Yasin berdepan hukuman mati, mengaku tidak bersalah miliki, tanam ganja

Astro Awani
Mac 31, 2022 05:30 MYT
Yasin berbaju hitam tiba di mahkamah kira-kira 10 pagi diiringi anggota polis. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PETALING JAYA: Bekas penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati .
Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Yasin juga mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.
Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin.
[TERKINI] Yasin didakwa tanam, edar ganja
Tertuduh sebelum ini ditahan polis bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu.
Polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.
Hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).
BACA: Penyanyi nasyid ditahan disyaki terlibat kes berkaitan dadah
BACA: Usahakan 'kebun' ganja dalam rumah, bekas penyanyi nasyid terima padah
BACA: Bekas penyanyi nasyid mungkin beli benih ganja secara 'online' - Polis
BACA: Usahakan 'kebun' ganja di rumah: Bekas penyanyi nasyid dituduh di mahkamah esok
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.
Selebriti | 'Kebun' ganja dalam rumah bekas penyanyi nasyid
Polis juga tidak menolak kemungkinan bekas penyanyi nasyid dan komposer itu mendapatkan bekalan benih secara dalam talian.
Siasatan PDRM | Artis nasyid mungkin beli benih ganja secara online
Artis berdarah kacukan Melayu dan Australia ini popular sekitar tahun 2000 melalui lagu berentak "world music".
Kerjaya seninya bermula menerusi penampilan dalam kumpulan nasyid Brothers sejak tahun 1995.
Namun lagu solo "Mimpi Laila" telah menjulang namanya apabila dia memenangi gelaran juara keseluruhan di satu majlis anugerah lagu anjuran sebuah stesen televisyen swasta pada 2001.
Yasin pernah mendirikan rumahtangga pada tahun 2005 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Pada 2009, Yasin mendedahkan dia mengalami gangguan bipolar dan pernah menjalani rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
#tanam pokok ganja #Yasin Sulaiman #penyanyi nasyid #Mimpi Laila #hukuman mati