KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon asal lagu tradisional ikonik Ulek Mayang, Wan Salmah Wan Sulaiman, meninggal dunia pada usia 82 tahun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, pada Jumaat.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.25 pagi selepas mengalami komplikasi kesihatan akibat penurunan tahap oksigen dalam badan.
Anak lelakinya, Shahriman Shamsuddin, 52, berkata ibunya menerima rawatan di HSNZ sejak kira-kira 20 hari lalu selepas dikesan mengalami masalah kekurangan oksigen yang kronik.
Menurutnya, keadaan kesihatan Allahyarham merosot secara mendadak pada pagi Jumaat sehingga menyebabkan beberapa organ penting, termasuk hati, gagal berfungsi.
“Kandungan oksigen dalam badan mami turun mendadak pagi tadi sehingga menyebabkan beberapa organ badannya berhenti berfungsi.
“Saya berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi.
Shahriman berkata, Allahyarham sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-82 pada 19 September depan.
Wan Salmah yang berasal dari Kampung Tiong, Kuala Terengganu, dikenali sebagai antara tokoh seni yang banyak berjasa mengangkat warisan budaya Terengganu, khususnya menerusi persembahan Ulek Mayang dan gamelan Melayu.
Beliau juga pernah membawa seni tradisional negeri itu ke pelbagai pentas termasuk di peringkat antarabangsa.
Ulek Mayang merupakan antara lagu rakyat paling terkenal dalam masyarakat Melayu Terengganu dan kekal popular sehingga kini, meskipun sering dikaitkan dengan unsur mistik susulan asal-usulnya yang dipercayai berkait dengan ritual perubatan tradisional masyarakat setempat.