MALAYSIA
Penyata kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 teratur - Laporan Ketua Audit Negara

Wan Suraya berkata secara keseluruhan prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun tersebut bertambah baik. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rekod perakaunan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Dis 2024 diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini, kata Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Wan Suraya dalam kenyataan sempena pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata secara keseluruhan prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun tersebut bertambah baik dengan penurunan defisit dan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 2023.
Beliau berkata Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan itu menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun tersebut dan sehubungan itu, Ketua Audit Negara telah memberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain.
"Pada tahun lepas, defisit tersebut telah menunjukkan penurunan RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun sebelumnya."Nisbah defisit kepada KDNK turut berkurang kepada 4.1 peratus, berbanding lima peratus pada 2023 dan lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024. Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus," katanya.
Antara isu terkait dalam laporan itu, beliau berkata adalah Projek Pangkalan Operasi Hadapan Di Pulau Mabul, Semporna, Sabah yang dirancang sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), masih belum disiapkan hingga Julai lepas meskipun tarikh siap asal ditetapkan pada 16 Nov 2024.
Beliau berkata antara isu utama yang dikenal pasti adalah kelewatan pembinaan Bangunan Penempatan Semula (BPS), bangunan utama (selain daripada BPS) masih belum siap dan pembinaan jeti yang belum dimulakan.
Selain itu, Jabatan Audit Negara (JAN) turut memperluaskan pengauditan terhadap 1,856 badan lain termasuk syarikat melalui Sistem e-SelfAudit yang menggunakan teknologi pendigitalan terkini bagi membolehkan kesemua syarikat berkenaan dapat diaudit setiap tahun, mulai tahun ini.
"Tiga elemen utama yang diaudit ialah pencapaian mandat dan objektif penubuhan, pematuhan aspek tatakelola serta prestasi kewangan," katanya.
Beliau berkata setakat 31 Dis 2024, sebanyak 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran kepada empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu.
Sementara Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain kepada sembilan negeri iaitu Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor.
LKAN 3/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan ia mengandungi 14 naskhah termasuk satu naskhah di peringkat Persekutuan iaitu Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dan Aktiviti Kementerian/Jabatan/Syarikat Kerajaan Persekutuan.
Sebanyak 13 naskhah lagi adalah LKAN peringkat negeri mengenai Penyata Kewangan Kerajaan dan Agensi Negeri.
LKAN 3/2025 peringkat Persekutuan akan dimuat naik di laman sesawang JAN selepas pembentangan di Dewan Rakyat dan orang awam boleh melayarinya mulai 10 pagi ini di pautan http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my/.
Sebarang pertanyaan lanjut atau pandangan mengenai laporan itu boleh dikemukakan melalui e-mel kepada [email protected].
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami