JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor akan membiayai kos rawatan penyelam warga asing yang ditemukan selamat selepas hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing pada Rabu.

Selain itu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut memaklumkan, dua lagi mangsa berjaya ditemukan selamat tetapi dalam keadaan lemah, awal pagi tadi.

Katanya, kedua-dua mereka sedang menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ di Pasir Gudang.

Beliau turut memohon agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Alhamdulillah, mereka dalam keadaan sedar and they are recovering. At the moment the doctors here, at KPJ are doing all that they can to make sure they recover as soon as possible.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, whatever medical expenses kerajaan akan tanggung. Dalam masa sama  usaha sedang dipergiat semua agensi in terms of search and rescue for the last victims,” katanya.

BACA: Penyelam warga Britain, Perancis yang hilang di Mersing ditemukan selamat

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan terhadap dua mangsa yang baharu ditemui di Hospital Pakar KPJ  di Pasir Gudang pada Sabtu.

Penyelam Hilang | Dua lagi ditemukan selamat


Terdahulu, dua penyelam daripada tiga yang masih hilang di Pulau Tokong Sanggol, di sini pada Rabu ditemui selamat oleh nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan pada jam kira-kira jam 1 pagi tadi di perairan Pengerang berhampiran sempadan perairan Indonesia.

Mereka ialah penyelam warga Britain,  Adrian Peter Chesters, 46, dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18.

Bagaimanapun anak kepada Adrian, Nathen Renze, 14, warga Belanda masih hilang.

Untuk rekod, pada Khamis penyelam Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat.

Jurulatih selam itu ditemui di 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.15 pagi oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.