KUALA LUMPUR: Penyelidikan saintifik perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang meningkatkan taraf hidup, mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan bukannya sekadar terperap di makmal, universiti atau penerbitan saintifik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata penjagaan kesihatan merupakan medan penting bagi sains dan inovasi, terutamanya ketika Malaysia berdepan dengan populasi menua, penyakit kronik dan peningkatan permintaan untuk penjagaan yang lebih baik dan diperibadikan.
“Sebab itulah MOSTI terus memperkukuh keupayaan Malaysia dalam bidang seperti bioteknologi, genomik, kecerdasan buatan, bahan termaju dan kesihatan digital, dengan matlamat untuk membangunkan teknologi yang menyokong diagnosis, pemantauan dan rawatan yang lebih baik.
“Akhirnya, inovasi mesti diterjemahkan kepada penyelesaian yang boleh diguna pakai dan memberikan hasil yang lebih baik kepada pesakit,” katanya pada majlis perasmian Kongres Kesatuan Persatuan Penyembuhan Luka Dunia (WUWHS) 2026 di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Chang turut merasmikan Cellmax™ Freeze-Dried Powder dan Cellmax™ Wound Spray, menandakan pelancaran komersial rasmi bagi penyelesaian penjagaan luka yang memenangi anugerah itu.
Beliau berkata Cellmax mempunyai signifikannya yang tersendiri, sebagai pemenang Innovathon Musim ke-2, memandangkan inisiatif itu bertujuan untuk memacu hasil komersial dan bukan sekadar konsep kreatif semata-mata.
“Innovathon merupakan sebuah program anjuran bersama MOSTI dan Kementerian Ekonomi...dan dalam Innovathon, kami bukan sahaja melihat kepada kreativiti dan inovasi, tetapi pada masa yang sama, kami juga melihat kepada aspek pengkomersialan.
“Hari ini, saya amat gembira untuk mengumumkan bahawa pemenang kita telahpun mengkomersialkan produk mereka dan saya berharap lebih ramai peserta atau pemenang Innovathon juga, boleh mengkomersialkan produk masing-masing kerana kita bukan sahaja menyasarkan pasaran tempatan malah pasaran global,” katanya.
Mengenai peranan kerajaan dalam memupuk bakat tempatan, Chang berkata MOSTI terus bekerjasama rapat dengan kementerian lain, untuk membantu para pereka cipta tempatan merintis laluan kawal selia, mendapatkan pensijilan yang diperlukan serta mencapai skala komersial.
Pengarah Urusan Cellmax Datuk Loke Mei Chan berkata produk itu dibangunkan dan dikilangkan sepenuhnya di Malaysia, sambil menambah bahawa penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mendasarinya mengambil masa lapan tahun di bawah pimpinan Ketua Pegawai Saintifiknya Prof Dr Azizi Ayob, yang juga merupakan pemenang Innovathon Musim ke-2.
“Ia dibangunkan dan dikilangkan sepenuhnya di Malaysia...daripada saintis tempatan, bahan mentah, hinggalah ke peringkat pengeluaran, semuanya dilakukan di Malaysia. Ia 100 peratus (tempatan) bermula daripada bahan mentah hinggalah menjadi produk akhir. Dibuat di Malaysia, oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Bertemakan “Anjakan Paradigma Global: Kepakaran dan Pengiktirafan Penjagaan Luka”, kongres lima hari yang bermula pada 23 Sept itu, telah menghimpunkan lebih 5,000 perwakilan dan 414 pakar global bagi memajukan amalan klinikal dan mengkomersialkan inovasi kesihatan tempatan.
-- BERNAMA