Skip to main content

Dunia

Singapura beri amaran, larang bekas eksekutif kanan Megaspeed masuk semula ke negara itu

Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura, Alice Huang tidak berpangkalan di Singapura dan tidak disiasat atas kesalahan pengintipan. - Gambar fail/REUTERS
Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura, Alice Huang tidak berpangkalan di Singapura dan tidak disiasat atas kesalahan pengintipan. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

SINGAPURA: Singapura mengeluarkan amaran keras dan melarang bekas eksekutif kanan Megaspeed International Pte Ltd, Alice Huang, daripada memasuki semula negara itu susulan siasatan polis, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Dalam kenyataan pada Khamis, MHA memaklumkan bahawa Huang, seorang penduduk Hong Kong, disiasat oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) kerana disyaki terlibat dalam kemungkinan kesalahan di Singapura, memandangkan kedudukannya ketika itu sebagai ketua pegawai eksekutif, pengerusi dan seorang daripada individu utama yang mengawal Megaspeed.

Menurut kementerian itu, Huang, yang turut dikenali sebagai Huang Le, tidak berpangkalan di Singapura dan tidak disiasat atas kesalahan pengintipan.

Advertisement

“Pada Februari 2026, SPF selepas berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), membuat kesimpulan bahawa bukti tidak mencukupi untuk membuktikan Huang melakukan sebarang kesalahan berkaitan kemungkinan pengisytiharan tidak tepat yang menjadi subjek siasatan terhadap Megaspeed.

“Bagaimanapun, SPF mendapati Huang telah memberikan maklumat yang diketahuinya tidak tepat kepada pihak polis sepanjang siasatan bagi memperkecilkan peranannya dalam Megaspeed,” menurut MHA pada Khamis.

Advertisement

Menurut kementerian itu, SPF dan Kastam Singapura memulakan siasatan bebas terhadap beberapa syarikat dan pegawai utama mereka, termasuk Megaspeed, sebuah syarikat yang diperbadankan di Singapura, serta individu yang mengawalnya pada Februari 2025.

Kesalahan yang disyaki berlaku di Singapura itu melibatkan kemungkinan pengisytiharan palsu berkaitan pembelian pelayan komputer serta kesalahan lain yang berkaitan.

Kementerian itu menegaskan bahawa Singapura komited untuk mengekalkan reputasinya sebagai hab perniagaan yang dipercayai dan boleh diharapkan.

“Kami tidak akan membenarkan syarikat atau individu menyalahgunakan persekitaran perniagaan Singapura untuk melakukan penipuan atau amalan tidak jujur.

“Singapura telah mendakwa empat individu dan empat syarikat di mahkamah antara Februari 2025 hingga Julai 2026 atas pelbagai kesalahan, termasuk penipuan melalui representasi palsu berkaitan pembelian pelayan komputer, dengan setiap kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement