Penyeludup alihkan pangkalan haram ke Thailand elak dirobohkan - Polis

Sebahagian jeti haram dekat Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand, Rantau Panjang yang dirobohkan pihak berkuasa Oktober lalu. - Gambar fail/Bernama
PASIR MAS: Bimbang dengan operasi merobohkan pangkalan haram oleh pihak berkuasa, sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand dikesan mula mengalihkan jeti haram (rakit) bergerak mereka ke tebing negara jiran.
Ringkasan AI
- Sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand mengalihkan jeti haram mereka ke tebing negara jiran selepas bimbang dengan operasi penguatkuasaan bersepadu pihak berkuasa.
- Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mendedahkan bahawa beberapa pangkalan haram di Jeram Perdah dan Rantau Panjang dimusnahkan tanpa sebarang insiden dalam operasi bersepadu.
- Walaupun cubaan penyeludup mengalihkan jeti, pihak berkuasa bertekad untuk terus memusnahkan struktur haram demi membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
"Saya dimaklumkan bahawa ketika operasi dijalankan, maklumat mengenai perobohan pangkalan haram itu telah bocor dan sampai kepada pengetahuan beberapa penyeludup.
"Apabila mengetahui perkara tersebut, mereka segera memindahkan jeti berkenaan ke bahagian Thailand kerana bimbang akan dimusnahkan pihak berkuasa," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Yusoff berkata beberapa lagi pangkalan haram di sekitar Jeram Perdah dan Rantau Panjang turut dimusnahkan hari ini dengan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
Meskipun berdepan dengan cubaan penyeludup mengalihkan jeti, beliau berkata operasi akan diteruskan bagi memastikan semua struktur haram yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan dapat dihapuskan sepenuhnya.
Beliau berkata sebanyak 17 pangkalan haram dikenal pasti untuk dirobohkan dalam usaha membanteras kemasukan haram dan jenayah rentas sempadan, antaranya pangkalan Jitong, Maghrib, Kak Pah dan Kayangan Inn.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa laluan tikus di sekitar Sungai Golok mendapati aktiviti penyeludupan masih wujud dalam skala kecil, dengan pergerakan mencurigakan dikesan pada waktu malam, terutama di kawasan berpaya dan terlindung. Beberapa penduduk turut memaklumkan bahawa penyeludup kerap menukar lokasi jeti bergerak untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Selain itu, tinjauan di tebing Thailand berhampiran dengan kawasan operasi menunjukkan beberapa rakit kecil dipercayai milik penyeludup telah berlabuh di bahagian negara jiran, sejajar dengan maklumat yang diterima pihak berkuasa tentang usaha sindiket mengalihkan struktur haram bagi mengelakkan perobohan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


