KUALA LUMPUR: Penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) pertama kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih kekal dalam garis masa seperti yang diumumkan sebelum ini dan tidak berubah, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Kita berpegang kepada apa yang kita umumkan sebelum ini. Kami semua setuju PAT (Panglima Angkatan Tentera), PTL (Panglima Tentera Laut), Mindef (Kementerian Pertahanan), Boustead, Kementerian Kewangan sehinggalah kepada Kabinet.

"Maka kita punya garis masa daripada dulu lagi pertama untuk meyakinkan pada orang ramai bahawa projek LCS ini mesti diteruskan. Keduanya kita tidak akan melindungi sesiapa yang bersalah jika ada salah guna dan penyelewengan," katanya dalam sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan Kementah dan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di Desa Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media tempatan mengenai kelewatan tarikh penyerahan LCS dalam wawancara khas bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang sempena sambutan Hari ATM yang ke-89, semalam.

Pada Ogos lepas, Mindef diberi masa enam bulan bagi memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek itu, dan beliau percaya kapal pertama akan diterima TLDM dalam masa dua tahun lagi.

Sementara itu, Hishammuddin berkata kementeriannya bersiap-siaga menggerakkan aset jika bencana banjir berlaku.

Beliau berkata Mindef dan ATM turut berada dalam jawatankuasa banjir yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Daripada segi persiapan menghadapi bencana itu, pihak saya tiada masalah dan sudah bersiap-siaga. Kita akan kerahkan seberapa ramai anggota ATM malah aset juga sedia digerakkan jika berlaku banjir," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.

-- BERNAMA