KUALA LUMPUR: Kemunculan semula penyu belimbing di Terengganu selepas sembilan tahun tidak direkodkan mendarat di negeri itu untuk bertelur memberi harapan baharu kepada usaha pemuliharaan spesies berkenaan.
Lebih menarik, penyu belimbing itu dilaporkan mendarat sebanyak dua kali dalam tempoh terdekat bagi tujuan peneluran, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap kepentingan memastikan habitat penyu terus dilindungi.
Bagaimanapun, Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, usaha pemuliharaan tidak boleh hanya tertumpu kepada pantai dan kawasan peneluran.
Sebaliknya, perlindungan perlu turut merangkumi perairan negara yang menjadi habitat utama penyu.
Menurut beliau, kira-kira 99 peratus daripada kehidupan penyu berlaku di dalam air, menjadikan penguatkuasaan di laut sama penting dengan pemeliharaan kawasan pantai.
Penguatkuasaan perikanan perlu diperkasa
Mohd Uzair berkata, penggubal dasar perlu memberi perhatian serius terhadap penguatkuasaan undang-undang perikanan bagi melindungi perairan negara daripada aktiviti perikanan yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, aset dan keupayaan agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Perikanan serta agensi berkaitan juga perlu diperkasakan bagi membolehkan pemantauan perairan dilakukan dengan lebih berkesan.
“Kita kena betul-betul menjaga perairan negara kita daripada aktiviti-aktiviti perikanan yang tidak bertanggungjawab.
“Tidak boleh tidak, kita kena bukan sahaja memelihara pantai tetapi apa yang berlaku di hadapan pantai dan juga perairan negara kita," katanya dalam AWANI Pagi pada Selasa.
Menurutnya, penguatkuasaan juga perlu meliputi aktiviti pencerobohan serta kegiatan pelancongan yang tidak mematuhi undang-undang kerana ia berpotensi mengganggu habitat dan kelangsungan hidup penyu.
Komuniti perlu terlibat dalam konservasi
Dalam pada itu, beliau menggalakkan komuniti setempat memainkan peranan lebih aktif dalam usaha pemuliharaan, khususnya dengan melibatkan golongan kanak-kanak dalam aktiviti berkaitan alam sekitar.
Beliau mengambil contoh gerakan komuniti Geng Plastik Hijau (GPI) di Terengganu yang menganjurkan program pembersihan pantai secara percuma kepada masyarakat.
Katanya, gerakan berkenaan mempunyai wakil di hampir setiap daerah dan menyediakan aktiviti yang boleh disertai komuniti secara berkala, termasuk pada hujung minggu.
“Saya menggalakkan komuniti kita ini tidak kiralah dekat ataupun jauh daripada pantai, ataupun mereka yang berada dari luar negeri Terengganu ini, marilah datanglah ke negeri Terengganu ini.”
Beliau berkata, penglibatan masyarakat dalam aktiviti pembersihan pantai bukan sahaja membantu memastikan kawasan pesisir lebih terpelihara, malah dapat meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan ekosistem marin.
Kemunculan semula penyu belimbing satu peluang
Kemunculan semula penyu belimbing di Terengganu selepas tempoh yang panjang, katanya, wajar dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh usaha konservasi secara menyeluruh.
Ini termasuk memastikan pusat konservasi dan kemudahan berkaitan terus dipelihara serta mendapat sokongan yang sewajarnya.
Usaha bersepadu antara kerajaan, agensi penguatkuasaan, penyelidik, komuniti setempat dan masyarakat penting bagi memastikan habitat penyu kekal selamat.
Ia sekali gus memberi peluang kepada penyu belimbing untuk terus kembali ke pantai Terengganu bagi melengkapkan kitaran hidupnya.