Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Penyu belimbing mendarat, bertelur kali ketiga di pantai Terengganu

DUNGUN, 22 Sept - Seekor penyu belimbing mendarat dan bertelur sebanyak 70 biji di Pantai Kuala Abang awal pagi tadi, sekali gus merupakan pendaratan kali ketiga spesies penyu terbesar di dunia itu direkodkan di Terengganu bulan ini. Ibu penyu berukuran 2.15 meter panjang dan 1.15 meter lebar itu kembali ke laut kira-kira 5 pagi, manakala telurnya dipindahkan ke tempat penetasan di Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang untuk dieram. - fotoBERNAMA (2026)
Seekor penyu belimbing mendarat dan bertelur sebanyak 70 biji di Pantai Kuala Abang awal pagi tadi. - Foto BERNAMA
Advertisement

DUNGUN: Seekor penyu belimbing kembali mendarat dan bertelur sebanyak 70 biji di Pantai Kuala Abang di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang berkata pendaratan itu merupakan kali ketiga melibatkan spesies penyu terbesar di dunia berkenaan direkodkan di pantai Terengganu bulan ini.

Beliau berkata ibu penyu berkenaan ditemukan mendarat oleh pemajak telur penyu di Pantai Kuala Abang pada kira-kira 2 pagi dan haiwan itu kembali ke laut selepas bertelur kira-kira 5.30 pagi.

"Ibu penyu itu berukuran 2.15 meter panjang dan 1.15 meter lebar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pang berkata telur penyu berkenaan telah dikutip petugas Jabatan Perikanan pada 6 pagi tadi untuk dieram di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu di Rantau Abang, dekat sini.

"Telur penyu belimbing yang dieram itu dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari," katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ibu penyu berkenaan merupakan penyu sama yang mendarat dan bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 Sept lepas dan Pantai Rantau Abang pada 13 Sept.

Untuk rekod, pendaratan penyu belimbing di Terengganu sebelum ini ldirekodkan kali terakhir pada 2017, menjadikan tiga pendaratan yang berlaku bulan ini sebagai perkembangan penting dalam usaha pemuliharaan spesies berkenaan di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement