KUALA LUMPUR: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bermula hari ini melibatkan 395,870 calon di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara berjalan lancar termasuk di negeri terjejas banjir iaitu Pahang dan Terengganu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan Azman Adnan berkata tiada sebarang isu berhubung calon terjejas dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan dilaporkan setakat pagi ini.

"Setakat ini, perjalanan SPM di seluruh negara tidak ada masalah atau ada isu murid kita terjejas ke pusat peperiksaan walaupun ada kawasan tertentu di beberapa negeri masih dilanda banjir," katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru, hari ini.

Mengulas situasi di JOHOR, Azman berkata sebanyak 18 sekolah menengah di Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak sedia diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi persediaan menghadapi banjir.

Beliau turut menjelaskan peperiksaan SPM di sekolah yang digunakan sebagai PPS, tidak akan terjejas dan tetap diteruskan seperti biasa di negeri itu yang melibatkan sebanyak 48,426 calon di 364 pusat di 301 sekolah.

Di PAHANG, sejumlah 20,271 calon menduduki peperiksaan SPM di 258 pusat peperiksaan seluruh negeri, yang turut melibatkan 2,184 petugas termasuk 274 sukarelawan peperiksaan yang dilantik dengan tiada pusat peperiksaan dilaporkan terjejas bencana banjir, menurut Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Abd Malek.

Di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Jelani Sulong berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menggerakkan Op Payung sekiranya banjir melanda sekolah terlibat dengan peperiksaan itu, selain sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata tujuh pusat peperiksaan alternatif turut disediakan bagi calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai persiapan sekiranya berlaku banjir di negeri itu.

"Pusat peperiksaan yang terlibat itu ialah enam sekolah di Pasir Mas dan sebuah sekolah di Tumpat yang lazimnya akan dinaiki air jika berlaku banjir.

"Dianggarkan lebih 600 calon akan terjejas banjir sekiranya sekolah mereka dinaiki air," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjuan hari pertama SPM 2023 di SMK Dato' Ahmad Maher di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Roslan Abu Hassan berkata peperiksaan SPM kali ini membabitkan sejumlah 19,765 orang merangkumi calon di sekolah kerajaan (15,817), sekolah agensi kerajaan (240), sekolah swasta (2,500) dan calon persendirian (1,208).

Ketika ditemui melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur, beliau berkata peperiksaan itu yang dimulakan dengan ujian bertutur dan ujian mendengar bulan lepas sehingga ujian bertulis bermula hari ini berjalan lancar dengan tiada pelajar dan sekolah di ibu negara terlibat dengan bencana setakat ini.

Di PUTRAJAYA, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Ezaiddin Hussain berkata sebanyak 1,907 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2023 dengan 18 daripada jumlah itu merupakan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) terdiri daripada kategori masalah pembelajaran, ketidakupayaan intelektual, penglihatan dan fizikal.

"Setakat ini, kita ada seorang calon terlibat dalam kemalangan jalan raya yang patah tangan dan menduduki peperiksaan di hospital," katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata sejumlah 15,977 calon menduduki peperiksaan di negeri itu.

Selain itu, di SELANGOR, 72,929 calon termasuk calon persendirian mendaftar untuk menduduki SPM 2023 membabitkan 491 pusat peperiksaan yang turut melibatkan 8,046 petugas peperiksaan dilantik, kata Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Hanisah Mohd Ali.

Hanisah berkata calon peperiksaan turut dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau bilik operasi JPN Selangor melalui talian 03-55186114, sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan berikutan bencana.

Di MELAKA, sejumlah 12,900 pelajar menduduki peperiksaan SPM di 103 pusat peperiksaan di seluruh negeri merangkumi calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan serta sekolah agama bantuan kerajaan dan turut melibatkan 65 calon berkeperluan khas seperti masalah penglihatan, pendengaran, fizikal dan autisme, manakala empat calon menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, di KEDAH, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Ismail Othman mengingatkan kepada 29,044 calon supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang tempoh peperiksaan ini kerana sebarang kejadian yang tidak diingini boleh menjejaskan peluang mereka untuk menduduki peperiksaan SPM.

Selain itu, terdapat 3,455 calon di PERLIS, PERAK (31,411), PULAU PINANG (18,837) dan SABAH (38,778) dilaporkan menduduki peperiksaan hari ini.

-- BERNAMA