LENGGONG: Perak mempunyai 76 lokasi yang telah dikenali sebagai hotspot banjir, termasuk di daerah Lenggong.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi musim tengkujuh apabila Perak dijangka menerima hujan yang lebih lebat dalam bulan Oktober sehingga Disember.

Menurutnya, antara langkah itu ialah melaksanakan kerja-kerja mengorek pulih sungai, mendalamkan sungai dan menyelenggara kolam takungan.

Di samping itu, katanya, Perak juga telah memasang sistem amaran siren di 33 lokasi di seluruh negeri.

“Kita akan pasang 27 lagi, menjadikannya 60 buah kerana kita boleh boleh hanya fokus kepada Sungai Perak sebab sekarang ini, apabila hujan, banjir boleh berlaku di mana-mana tempat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulangtahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, setakat ini kerja-kerja penyelenggaraan kolam tadahan banjir telah dilaksanakan di 336 lokasi yang melibatkan keluasan 490 hektar.

Sementara itu, dalam ucapannya, Saarani berkata, sistem amaran banjir juga telah dipasang di dua buah lokasi di sekitar kawasan Sungai Lenggong bagi membantu untuk memberi amaran kepada penduduk kampung apabila paras air sungai mulai naik ke tahap yang bahaya. 

Jelasnya, siren-siren itu akan berbunyi sebanyak dua kali sebagai tanda amaran. 

“Siren yang pertama akan berbunyi apabila aras air di peringkat berjaga-jaga dan siren kedua akan berbunyi apabila aras air berada di peringkat bahaya,” ujarnya.

 Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat, sekiranya telah kedengaran siren yang pertama maka bersiap siagalah untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi atau pusat penempatan sementara bagi menggelakkan sebarang kehilangan nyawa.

Dalam pada itu, Saarani menyeru rakyat dan agensi-agensi terlibat untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi memastikan sungai-sungai di negeri ini sentiasa bersih kerana Perak adalah antara negeri yang mempunyai peratus sungai kategori bersih tertinggi di Malaysia.
 
Katanya, daripada senarai sungai yang berada di Perak, Sungai Tapah adalah sungai paling terbersih di Malaysia berbanding 672 sungai yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kejayaan ini adalah berkat kesalinghubungan yang baik antara rakyat dan kerajaan. Polisi yang bak sewajarnya disokong oleh budaya dan amalan kebersihan yang diamalkan oleh rakyat,” tambahnya.