Kerajaan negeri Perak dan wilayah Guangxi di selatan China setuju untuk membuka sebuah pejabat di ibu negeri masing-masing sebagai antara komitmen untuk memperkukuhkan lagi kerjasama yang terjalin sejak tahun 2000.

Menerusi persetujuan itu, Perak melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membuka pejabat di sini, manakala pihak berkuasa tempatan Nanning akan mewujudkan pejabat di Ipoh.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata persetujuan itu dicapai semasa pertemuan antara beliau dengan Gabenor wilayah autonomi Guangxi, Chen Wu di sini pada Khamis.

"Perak dan wilayah Quangxi khususnya Ipoh serta Nanning mempunyai banyak potensi besar untuk dibangunkan bersama.

"Selain memantapkan ekonomi, kita juga mahu bertukar-tukar pengalaman dan kepakaran daripada aspek pembangunan bandaraya kerana Nanning mempunyai landskap pokok-pokok yang cantik," katanya kepada pemberita selepas melawat Ekspo China ASEAN 2017 di sini, pada Rabu.

Zambry kini berada di Nanning untuk lawatan kerja tiga hari bermula 13 Sept sebelum meneruskan misi sama ke Fukuoka, Jepun pada Ahad.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah awal bagi pertukaran pegawai di antara kedua-dua bandaraya termasuk mengenal pasti bidang perkongsian yang boleh dilakukan.

"Kita juga cuba susun pegawai untuk menghadiri secara intensif kursus dan latihan di sini dan lihat perubahan untuk MBI bawa balik seterusnya laksanakan di Ipoh," katanya.

Zamri berkata pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada Nanning supaya diberi peluang untuk mengindahkan satu taman di sini seterusnya dijadikan taman MBI.

-- BERNAMA