Kerajaan negeri Perak mengambil langkah tegas dengan merobohkan semua struktur yang dibina di Pulau Sembilan sejajar dengan penutupan pulau pelancongan itu kepada umum mulai 1 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dalam hal pengurusan pulau itu bagi memelihara kemampanan dan kelestarian khazanah warisan pulau tersebut.

Menurut beliau, bagi memastikan alam semula jadi pulau itu dipelihara, dipulihara dan tidak dirosakkan golongan yang tidak bertanggungjawab, tindakan tegas telahpun diambil, termasuk langkah penutupan pulau berkenaan.

“Kerajaan negeri juga sedang dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap golongan yang tidak bertanggungjawab, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menceroboh kawasan ini,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Sidang DUN Perak hari ini.

Nolee berkata, antara syarat yang ditetapkan di pulau itu ialah tidak dibenarkan sebarang pembinaan struktur, termasuk kem perkhemahan dan tidak boleh bermalam.

Di samping itu, tambah beliau, hanya 120 orang sahaja yang dibenarkan ke Pulau Sembilan dalam sehari tetapi malangnya ada ketikanya jumlah pelancong meningkat sehingga 300 orang.

Beliau menjelaskan, kehadiran ramai pelancongan boleh menjejaskan ekosistem pulau berkenaan, antaranya menjejaskan kualiti `phytoplankthon’ atau `blue sand’ atau `blue tears’ yang hanya boleh dilihat di waktu malam.

Sehubungan itu, kata beliau, langkah penguatkuasaan akan ditingkatkan bersama-sama pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis untuk memastikan tidak ada lagi aktiviti pencerobohan di masa akan datang.

Menurut beliau, tidak ada tempoh masa penutupan itu selagi kerajaan tidak menemui sistem pengurusan yang sesuai untuk memelihara dan memulihara pulau tersebut.