Kerajaan Perak akan sentiasa meningkatkan usaha menjaga dan memelihara Pulau Sembilan di Bagan Datuk daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, tegas Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menurut Zambry, sebelum ini pihaknya telah mengambil langkah menutup pulau berkenaan bagi membendung kegiatan pencerobohan serta melindungi flora dan fauna di pulau berkenaan.

"Saya sendiri telah turun untuk melihat keadaan pulau itu dan titah tuanku (Sultan Perak) untuk memastikan agar Pulau Sembilan dijaga, akan kita pastikan.

"Ini ketegasan kita dan kita juga amat prihatin terhadap apa yang berlaku di Pulau Sembilan," katanya pada sidang media selepas istiadat perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam titah perasmian menegur sikap pengusaha pelancongan yang tidak menghormati peraturan dan kawalan ditetapkan pihak berkuasa sehingga menyebabkan Taman Negeri di Pulau Sembilan yang unik dan istimewa kini terjejas.

Exco Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi sebelum ini mengumumkan Pulau Sembilan ditutup kepada sebarang aktiviti pelancongan berkuat kuasa 1 April disebabkan berlaku kerosakan ekosistem.

Selain itu, Zambry berkata pihaknya juga mengambil perhatian titah Sultan Nazrin yang mahu keaslian Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar dilindungi dan dipertahankan sebagai satu warisan dengan mengekalkan saiz dan reka bentuknya.

"Langkah memulihara dan menjaga masjid itu akan diambil serta dipastikan tidak diganggu atau cuba diubah untuk tujuan pembesaran oleh mana-mana pihak," katanya.

Masjid Ubudiah disenaraikan di tempat keempat dalam kalangan lima masjid yang cantik lagi menakjubkan di dunia selain Masjid Abu al-Abbas al Mursi di Iskandariah, Mesir; Masjid Kul Sharif di Kazan, Rusia; Masjid Biru di Istanbul, Turki dan Masjid Sheikh Zahid di Emiriah Arab Bersatu.

Menurut Zambry, kerajaan negeri juga akan memastikan jabatan dan agensi kerajaan sentiasa cekap dan telus. - BERNAMA