PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peralihan tenaga, integrasi serantau dan transformasi digital perlu berpaksikan manusia, bukan sekadar mengejar kemajuan teknologi.
Menurut beliau, setiap agenda pembangunan perlu memberi keutamaan kepada golongan miskin dan masyarakat yang terpinggir agar tiada pihak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan dan perubahan yang sedang berlaku.
"Peralihan yang canggih dari sudut teknologi tetapi pada masa sama menghancurkan kesejahteraan sosial bukanlah satu bentuk kemajuan, sebaliknya satu ketidakadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada forum GBA-ASEAN Mengenai Peralihan dan Integrasi Tenaga di Hotel Sunway Resort hari ini.
Turut berkenan hadir, Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz, serta Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN), Profesor Jeffrey Sachs.
Forum itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, ahli akademik, penggubal dasar dan pemain industri bagi membincangkan kerjasama ASEAN-Greater Bay Area dalam mempercepat agenda peralihan tenaga dan integrasi serantau.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, usaha ke arah peralihan tenaga dan integrasi serantau memerlukan tindakan kolektif serta kesepakatan yang utuh.
Beliau menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam agenda itu, namun mengingatkan bahawa setiap langkah ke arah pembangunan itu tidak boleh mengabaikan budaya, nilai kemanusiaan dan prinsip etika.
“Perpaduan antara kemajuan moden dengan nilai-nilai kemanusiaan itulah yang menjadi tunjang kepada konsep masyarakat MADANI,” katanya.
Mengulas mengenai Greater Bay Area (GBA), Anwar berkata kawasan itu berpotensi menjadi rakan strategik dalam mempercepat agenda peralihan tenaga di rantau ini menerusi kekuatan dalam sektor kewangan, teknologi dan pembuatan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, GBA yang diiktiraf World Intellectual Property Organization (WIPO) sebagai antara kluster inovasi global terkemuka dunia, turut mempunyai ekonomi yang bersepadu dan dinamik dengan populasi sekitar 86 juta penduduk.
Menurutnya, kerjasama strategik dengan GBA bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada Malaysia, malah memperkukuh pembangunan mampan serta mempercepat integrasi ekonomi dan tenaga di seluruh Asia.
Anwar berkata keputusan yang dibuat ketika ini akan memberi kesan kepada pembangunan rantau ini untuk beberapa dekad akan datang.
"Marilah kita dikenang sebagai generasi yang membina sebuah era keemasan hijau (green golden age).
“Iaitu satu zaman apabila ekonomi berkembang maju, alam sekitar kembali pulih, dan masyarakat menjadi lebih berperikemanusiaan, lebih adil serta lebih bersatu," katanya lagi.