Di kebanyakan negara luar, peranan CSO amat penting dan signifikan kerana CSO dianggap antara elemen penting yang menyokong segala usaha dan dasar kerajaan termasuklah dalam aspek keselamatan.
CSO juga memainkan peranan dalam menangani keganasan dan ektremis yang berlaku dalam keluarga, masyarakat dan negara. Komponen ini dikenali juga sebagai ‘Non Govermental’, ‘Non Profit’ atau juga ‘Non Commercial’.
Secara mudahnya CSO bolehlah ditakrifkan sebagai ‘penglibatan satu kelompok komuniti secara rasmi mahupun tidak dengan kepelbagaian fungsi dan cara ke arah peningkatan kualiti kehidupan dan bertamadun’.
Pemain utama dalam CSO termasuklah pemimpin masyarakat dan kepimpinan sesebuah persatuan, pemimpin agama, kumpulan berasaskan agama, grup media sosial, komuniti media, NGO lokal dan antarabangsa, persatuan profesional, persatuan buruh, kelab kebajikan, yayasan peribadi dan awam, institusi penyelidikan dan akademik, kelab rekreasi dan lain lain lagi.
Ada sedikit perdebatan tentang peranan keluarga dan parti politik sebagai komponen CSO. Selalunya kedua-dua entiti ini tidak dianggap sebagai CSO kerana pengaruh dan fungsi mereka.
Keluarga dikaitkan dengan perhubungan darah yang akan menyebabkan keputusan dan pendekatan yang dilakukan bersifat emosional.
Manakala parti politik pula dikaitkan dengan pembuatan dasar, polisi dan undang-undang yang mana akhirnya boleh mengganggu ‘kebebasan’ peranan CSO sebagai agen perubah dan berdiri sebagai non-partisan tanpa dipengaruhi apa-apa elemen.
Tradisionalnya perhubungan dan komunikasi CSO adalah secara fizikal, akan tetapi dengan ledakan teknologi maklumat pada abad ke-21 ini, medium perhubungan telah berubah dengan begitu drastik.
Statistik OECD pada 2018, lebih separuh daripada 3.819 bilion penduduk dunia telah mendapat akses kepada internet.
Keadaan ini menyebabkan medium komunikasi menjadi lebih mudah dan cepat. Maka secara tidak langsung peranan CSO menjadi lebih signifikan dan perhubungan serta komunikasi menjadi lebih pantas.
Malah ledakan teknologi maklumat ini juga dimanfaatkan oleh kelompok ektremis dan radikal hingga mereka juga menjadi lebih berpengaruh dan meresapi setiap lapisan masyarakat walau diceruk mana sekalipun mereka berada.
Agen-agen propaganda disebar luaskan melalui media sosial yang berjaya mempengaruhi kelompok naif dan ‘muda’ dalam beragama.
Sebelum ini peranan untuk menangani keganasan hanya dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara.
Sejak wujudnya kumpulan ektremis tentera Sabilullah pada 1969 hinggalah al-Qaeda dan ISIS pada milenium ini, pendekatan yang digunakan lebih kepada mengubati dan merawat bagi mereka-mereka yang ditahan.
Akan tetapi negara kita bernasib baik kerana mempunyai beberapa undang-undang yang bersifat ‘mencegah’ seperti ISA, SOSMA, POTA dan POCA.
Walau bagaimanapun, perubahan landskap politik dan kesedaran serta gerakan mempertahankan hak asasi yang dominan akhir-akhir ini menjadikan langkah pencegahan melalui undang-undang sedia ada agak rapuh dan memerlukan kepada semakan dan penilitian semula.
Keadaan ini menjadikan peranan CSO lebih besar dan mendesak.
Antara sebab mengapa peranan CSO dalam menangani keganasan dan ekstremis amat perlu dan relevan adalah seperti berikut:
1. CSO mempunyai pengetahuan yang lebih besar dalam spektrum yang pelbagai dan dinamik. Bukan sahaja boleh membantu kerajaan secara efektif, malah CSO juga boleh menjadi mekanisme dalam ‘agen pemakluman awal’ berkaitan ancaman terrorisme.
CSO lebih dekat dengan suspek dan lebih awal mengetahui siapa, di mana dan bagaimana individu atau sesuatu kelompok diindoktinasikan. Maka dengan cara ini maklumat dapat disampaikan dengan segera dan langkah-langkah pencegahan dapat dijalankan sebaiknya.
2. CSO selalunya bergerak dan bekerjasama dengan kelompok-kelompok yang terpinggir dan bermasalah. Rasa tidak puas hati, dendam dan benci menjadikan kelompok ini mudah dipengaruhi oleh elemen ekstrem.
Malah kerajaan sedia ada sering dianggap sebagai tidak adil dan musuh mereka. Perhubungan yang sentiasa berlaku antara kelompok ini dengan CSO akan dapat mengurangkan tekanan dan kebencian tersebut. Perlahan-lahan mereka akan dapat dineutralkan dengan kaedah bersahaja dan disenangi.
3. CSO mempunyai jaringan perhubungan yang besar di peringkat lokal mahupun antarabangsa. Perhubungan yang baik dan jelas ini dapat dimanfaatkan dengan cara amalan baik dan ‘smart partnership’ antara mereka.
Perhubungan yang rapat ini secara tidak langsung dapat mengesan apa-apa reaksi negatif antara kelompok dan jaringan besar mereka.
Hari ini, ekstremis boleh bergerak bebas melalui kemudahan media sosial, globalisasi dan sistem ekonomi ‘hawala’. Dengan peranan setiap komponen dan jaringan CSO ini, maka pengesanan awal dan langkah-langkah pencegahan boleh dilakukan.
4. CSO dianggap lebih memahami dan jelas tentang permasalahan yang mereka alami. Setiap komponen CSO adalah mereka-mereka yang telah lama bersama kelompok ini.
CSO lebih jelas dan faham masalah mereka serta mudah didampingi kerana pemain CSO ini adalah sebahagian dari mereka.
CSO dianggap lebih ikhlas dan bersifat membantu bukannya menghukum sebagai mana pandangan mereka terhadap pihak polis dan kerajaan. Kepimpinan dan aktor CSO selalunya adalah orang tempatan yang telah lama berada bersama mereka dan selalunya dikenali serta ada hubungan yang baik.
5. CSO juga sudah lama berada dalam gelanggang dan telah mempunyai sistem yang tersusun dan kukuh. Sistem ini cuma perlu ditambah baik dan diinstitusionalkan dengan sebaiknya, maka objektif dan peranan CSO kearah CVE akan dapat dicapai.
CSO mempunyai hireaki dan sistem yang dibangunkan dengan adunan nilai-nilai setempat dan relevan.
Peranan CSO di sini bukanlah mesti terus kepada CVE semata-mata, akan tetapi isu-isu tempatan dan berkaitan boleh ditangani seperti isu gender, belia, sukan, LGBT, penyalahgunaan dadah, hak asasi, jenayah, dialog antara agama dan lain-lain lagi. Isu-isu ini semuanya saling berkait dan saling melengkapi.
Kesimpulannya, peranan CSO adalah penting dan sangat bernilai dalam menangani ancaman keganasan, ektremis dan radikal dalam masyarakat dan negara amnya.
CSO boleh menjadi barisan depan dalam menangani isu-isu dan permasalahan yang berlaku. Peranan CSO yang telah lama berada dalam bidang, adunan konteks lokal dan internasional, sistem yang lebih tersusun dan kerjasama dengan pelbagai entiti setempat merupakan senjata utama dalam menjayakan hasrat kerajaan bagi mengelakkan sebarang tindakan tidak bertamadun oleh kelompok yang terpesong akidah dan pemikiran mereka.
Sudah sampai masanya KDN membangunkan Pelan Tindakan Negara (NAP) berkaitan peranan CSO dalam menangani CVE di Malaysia.
Peranan mengawal, mencegah dan memulihkan kelompok ekstrem dan radikal ini tidak lagi hanya dimainkan oleh pihak kejaaan semata-mata, semua lapisan masyarakat yang disusun melalui CSO adalah strategi tepat bagi menangani ancaman golongan pengganas, ekstremis dan radikal di negara ini.
* Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation (PGPF)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.