Perbarisan dan perarakan sempena Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka akan diteruskan pada 31 Ogos ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bagaimanapun beliau berkata acara lain yang dijadual dilaksanakan sempena Hari Kemerdekaan ke-57 akan disusun semula, disesuaikan atau terpaksa dibatalkan.

"Banyak perkara yang perlu kita ubah dan susun balik. Insya-Allah kita akan mendapat panduan dari kabinet esok dan akan umumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata antara acara dibatalkan ialah Konsert Harmoni Uniti yang dijadualkan pada 24 Ogos yang akan digantikan dengan program yang lebih sesuai.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata acara hiburan sempena Hari Kemerdekaan ke-57 akan diselaras mengikut kesesuaian dan berdasarkan panduan berikutan tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17.