Skip to main content

Malaysia

Perbaiki sahsiah, hakis kebimbangan terhadap nada Islam masa kini - PM

Serving , 25 Ogos 2026.Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan berikutan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia, Serdang.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Perdana Menteri Anwar berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) Universiti Putra Malaysia, Serdang pada Selasa. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam untuk melakukan muhasabah diri dan memperbaiki sahsiah bagi menghakis kebimbangan atau rasa "cemas" sesetengah pihak terhadap nada penyampaian Islam masa kini.

Berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) Universiti Putra Malaysia, di sini, pada Selasa, Perdana Menteri berkata, kegagalan mempamerkan akhlak dan contoh teladan yang baik bukan sahaja menyukarkan orang lain untuk menerima Islam, malah boleh mencetuskan salah faham terhadap agama itu sendiri.

"Ada masalah sekarang, bukan sekadar orang tidak mahu mudah menerima Islam, tetapi kadangkala orang merasa lebih cemas dengan nada Islam itu sendiri. Masalahnya bukan pada orang lain, masalahnya pada kita.

"Cabaran bagi umat sekarang ialah bagaimana boleh ini (Islam) dijadikan sebagai contoh yang mampu diteladani oleh umat dan oleh manusia keseluruhannya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai faktor sejarah, Anwar menjelaskan, kesan penjajahan atau kolonialisme telah meninggalkan impak mendalam terhadap pemikiran umat sehingga ada yang memandang rendah terhadap ketamadunan Islam sendiri.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri merujuk pada istilah 'Isti'mar ruhi wa fikri' (penjajahan jiwa dan pemikiran) oleh sarjana Sheikh Muhammad al-Ghazali, yang merujuk kepada penaklukan sistem dan jiwa raga sehingga masyarakat lebih mengagumi budaya asing berbanding nilai Islam.

"Keadaan Alhamdulillah dalam proses pengIslaman ini sedang berubah dan kesedaran meningkat. 

"Namun, mereka yang memegang amanah sama ada pentadbir, profesor, mahasiswa mahupun menteri, mesti ada kesediaan untuk membawa perubahan dan mesej yang jelas melalui tadbir urus dan pimpinan yang baik," katanya. 

Dalam mas sama, Perdana Menteri berkata, sambutan Maulidur Rasul seharusnya menjadi titik tolak untuk menyuntik semangat baharu dan bukan sekadar mengekalkan keadaan lama, memandangkan obor Islam itu bersifat dinamik dan setiap episod kehidupan Rasulullah SAW adalah pengajaran buat manusia.

Sehubungan itu, Anwar berharap agar umat Islam mampu bangkit sebagai 'Muslimun Haqiqun' (Muslim yang sebenar) yang mampu memberikan pencerahan kepada masyarakat sejagat.

Dalam majlis yang sama, Anwar turut menyampaikan salam dan penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada seluruh rakyat Malaysia yang menjayakan sambutan tersebut, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kata beliau, Seri Paduka Baginda yang kini berada di luar negara atas urusan kesihatan, sentiasa mendoakan agar Malaysia kekal aman, berdaulat, dan berjaya mengangkat martabat rakyat sebagai contoh terbaik kepada dunia.

Must Watch Video

Advertisement