Ringkasan AI
- Tiga anak Allahyarham CEO RareTV, Muhammad Akhmal Asyraf, menerima pasport untuk ke Muscat, Oman bagi urusan pengebumian bapa mereka.
- Urusan pasport diselesaikan selepas campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mengarahkan tindakan segera oleh pegawai dan Jabatan Imigresen Malaysia.
- Allahyarham meninggal dunia di Oman akibat jangkitan paru-paru ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027.
KUALA LUMPUR: Tiga anak Allahyarham Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RareTV, Muhammad Akhmal Asyraf Mohd atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, menerima pasport masing-masing bagi membolehkan mereka ke Muscat, Oman untuk menghadiri urusan pengebumian bapa mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, urusan berkenaan diselesaikan pada petang Jumaat selepas beliau menerima beberapa panggilan daripada pelbagai pihak yang memaklumkan kesukaran dihadapi keluarga Allahyarham untuk mendapatkan dokumen perjalanan berkenaan.
Menurutnya, beliau segera mengarahkan pegawainya menghubungi Saiful Nang bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menyelaras urusan pasport bersama wakil keluarga.
“Alhamdulillah, petang ini Isa, Hud dan Luth telah menerima pasport mereka di UTC Shah Alam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas tindakan pantas membantu menyelesaikan urusan berkenaan.
Beliau berkata, pemergian Allahyarham dan situasi yang dihadapi tiga beradik itu amat menyentuh hatinya, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang berusaha untuk ke Oman bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bapa tersayang.
Terdahulu, Saiful Nang memaklumkan jenazah Allahyarham akan disemadikan di Muscat, Oman, namun tarikh dan waktu pengebumian masih bergantung kepada proses dokumentasi dengan pihak berkuasa negara berkenaan.
Allahyarham Muhammad Akhmal Asyraf dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu Oman selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.
Allahyarham berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 yang menelusuri sejarah Islam dan kisah para anbiya.
Beliau sebelum itu menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat susulan mengalami kesukaran bernafas.