Ringkasan AI
- Polis telah mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan aset ketenteraan, namun individu tersebut masih bebas.
- Peranan individu dalam rangkaian sindiket, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut, penghantar, pemberi maklumat dan penyelaras, telah dikenal pasti polis.
- Setakat ini, 18 individu termasuk pegawai TUDM dan orang awam telah ditahan bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan.
BALING: Polis sudah mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan, namun individu tersebut masih bebas selepas berjaya meloloskan diri ketika operasi tangkapan dilakukan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata individu terbabit kini dalam radar pengesanan polis.
“Kita sudah kenal pasti dalang utama tetapi apabila tangkapan dibuat, dia bolos. Namun, dia dalam radar pengesanan polis,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Wira MADANI dan Santuni MADANI Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata polis juga sudah mengenal pasti peranan individu dalam rangkaian sindiket berkenaan, termasuk sebagai pembiaya, perancang utama, pengangkut, penghantar, pemberi maklumat serta penyelaras kegiatan.
Mengulas kemungkinan sumber bekalan dadah sindiket itu, Saifuddin Nasution berkata bekalan dadah ke negara ini sebahagian besarnya dipercayai berasal dari kawasan “Segi Tiga Emas”, yang merangkumi kawasan sempadan Thailand, Myanmar dan Laos.
“Bagaimanapun, biarlah Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan tugas mereka kerana mereka sedang memperluas jaringan siasatan untuk mengesan beberapa lagi individu yang terbabit,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang lagi pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan empat orang awam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan setakat ini sebanyak 18 orang.
-- BERNAMA