SINGAPURA: Kajian mendapati perbelanjaan pengguna dalam kalangan rakyat Singapura di Johor Bahru diunjurkan meningkat sebanyak S$1.05 bilion (S$1=RM3.15) setahun susulan pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Ia adalah antara dapatan kajian bersama Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persatuan Restoran Singapura (RAS) dan Persatuan Peruncit Singapura (SRA) bertajuk “Impak RTS terhadap Sektor Runcit dan F&B Singapura,” yang dikeluarkan hari ini.
Kajian itu turut mengunjurkan perniagaan runcit serta makanan dan minuman (F&B) di Singapura berpotensi menerima tambahan perbelanjaan tahunan sebanyak S$756 juta daripada pengunjung Johor Bahru susulan kesalinghubungan pengangkutan yang lebih baik.
Menurut kajian berkenaan, secara keseluruhan, RTS Link dijangka menghasilkan perbelanjaan keluar tambahan bersih sebanyak S$290 juta setahun, bersamaan 0.4 peratus daripada jumlah jualan sektor runcit dan F&B Singapura pada 2025.
"Sebelum RTS beroperasi, terdapat kira-kira 19.4 juta perjalanan pergi balik setiap tahun dari Singapura ke Johor Bahru dan 5.9 juta dari Johor Bahru ke Singapura menggunakan mod pengangkutan sedia ada.
"Kajian itu mengunjurkan RTS Link akan menambah 11.2 juta perjalanan pergi balik Singapura-Johor Bahru dan 3.3 juta perjalanan pergi balik Johor Bahru-Singapura setiap tahun, bersamaan anggaran purata 39,700 perjalanan sehari," menurut kenyataan bersama tiga persatuan perdagangan itu.
Menurut laporan itu, RTS Link akan meningkatkan persaingan kepada sektor runcit dan F&B di Singapura selain membantu menarik lebih ramai pengunjung dari Johor Bahru ke Singapura terutama bagi sektor peruncitan premium, hiburan dan acara gaya hidup berskala besar.
Laporan itu turut mendedahkan mengenai anggaran peningkatan perjalanan keluar oleh pengguna Singapura sebanyak 51 peratus manakala 34 peratus responden dari Johor Bahru berhasrat mengunjungi negara itu untuk menghadiri pelbagai acara selepas RTS Link mula beroperasi, meningkat berbanding 24 peratus ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SBF Kok Ping Soon berkata RTS Link akan mengubah cara pengguna melakukan perjalanan, membeli-belah dan menjamu selera di Singapura dan Johor Bahru sekali gus mewujudkan peluang kepada perniagaan di Singapura untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Namun pada masa sama, ia meningkatkan tekanan persaingan terutama kepada sektor runcit dan F&B. Perniagaan perlu melakukan penyesuaian dengan memfokuskan kepada tawaran, pengalaman pelanggan dan produktiviti, bukan sekadar bersaing dari segi harga.
“Industri dan kerajaan pula perlu bekerjasama untuk membantu mereka kekal berdaya saing dalam pasaran rentas sempadan yang semakin saling berhubung,” katanya.
RTS Link sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands North, Singapura dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai pada Januari 2027.
-- BERNAMA