KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau 'tidak pasti' mengenai beberapa dokumen dalam penyataan saksi bertulisnya yang dikemukakan kepada mahkamah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, turut mengakui bahawa beliau antaranya tidak dapat memastikan ketulenan Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat (M&A) 1MDB kerana kebiasaannya perihal perundangan hanya disahkan oleh mereka yang arif.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan kes berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

Jawapan 'tidak pasti dan tidak tahu' yang berkali-kali diberikan oleh Siti Zauyah menyebabkan Muhamad Shafee mempersoalkan keterangan Siti Zauyah dalam penyataan bertulisnya sebelum ini.

"Saya hanya tanya soalan asas kepada seseorang yang memegang jawatan seperti anda kerana anda berada dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Jika anda tidak tahu maklumat asas ini, saya tidak pasti apa yang anda tadbir.

"Anda membuat satu penyataan (saksi) yang sangat bagus... Bagaimana fakta asas ini anda tidak tahu, dan anda mengkritik 1MDB, Menteri Kewangan (ketika itu) dan saya tanya soalan asas sekarang, anda tidak dapat menjawabnya," soal Muhamad Shafee, di sini pada Khamis.

Pada 20 Jun lalu, Siti Zauyah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa 1MDB hanya berurusan dengan Najib mengenai operasi dan hal ehwal syarikat itu.

Sementara pada 15 Jun, Siti Zauyah memberitahu mahkamah bahawa Malaysia berhutang RM13.3 bilion akibat daripada pinjaman 1MDB.

Ditanya sama ada penyataan saksi bertulis tersebut dibuat oleh beliau, Siti Zauyah mengakui bahawa ia disediakan tanpa kehadirannya.

Tambah Siti Zauyah, draf penyataan saksi bertulisnya disediakan oleh dua kakitangan daripada bahagian pinjaman, dan diberikan kepadanya pada saat-saat akhir.

"Saya hanya diberikan pada saat-saat akhir, dan saya tiada 'privilege' untuk membaca keseluruhannya," jawab Siti Zauyah.

Foto:AWANI/Shahir Omar

Muhammad Shafee dilihat seolah-olah tidak berpuas hati dengan menyifatkan jawapan saksi pendakwaan itu sebagai 'tidak berguna'.

Beliau kemudian memohon agar Siti Jauyah digugurkan sebagai saksi pendakwaan.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berehat seketika dan bersambung pada pukul 2.30 petang.

Terdahulu, Datin Seri Rosmah Mansor hadir bagi memberikan sokongan kepada Najib.

Rosmah yang memakai baju kurung berwarna merah jambu dilihat tiba kira-kira 12.25 tengah hari.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.