KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan di laman sosial berhubung perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapi bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan teguran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah, anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah telah memuat naik kenyataan berkaitan kes bapanya di Instagram pada Selasa.

“Mahkamah akan mengeluarkan peringatan kerana tindakan ini bersifat subjudis. Komen seperti itu tidak boleh dibuat semasa kes itu sedang berjalan," katanya di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Pihak pembelaan hari ini menyambung hujah pembelaan melibatkan perbicaraan Ahmad Zahid, 68 tahun, yang menghadapi 47 tuduhan iaitu 12 membabitkan pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 atas dakwaan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum pembelaan memulakan hujah, Raja Rozela bangun dan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Nurulhidayah.

Beliau berkata, Nurulhidayah dan masyarakat umum tidak seharusnya memberikan kenyataan sedemikian.

"Saya bukan mahu memulakan dengan memperlekehkan prosiding tetapi ia adalah mencukupi untuk memaklumkan kepada orang ramai untuk tidak mengulas mengenai prosiding," katanya kepada mahkamah.

Susulan itu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid tampil memohon maaf kepada mahkamah, selain akan meminta Nurulhidayah memadam kenyataan yang dibuatnya.

Terbaharu, Nurulhidayah dalam kemas kini di Instagram nurul.zahid turut membuat permohonan maaf kepada mahkamah susulan kenyataan imuniti membabitkan kes perbicaraan bapanya, yang dimuat naik pada Selasa.

"Ia tidak akan berlaku lagi. Selamat maju jaya kepada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan," tulisnya dalam kemas kini tersebut, hari ini.

[TERKINI] Prosiding perbicaraan kes rasuah Zahid Hamidi bersambung


Semakan di laman Instagram juga mendapati Nurulhidayah telah memadam kemas kini tersebut sejurus selepas teguran tersebut.

Kenyataan itu dipercayai menyusul selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sepatutnya diberi imuniti daripada didakwa kerana semua maklumat mengenai transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi yang dikendalikan keluarganya didedahkan oleh Ahmad Zahid.

Hisyam berkata tertuduh menuntut imuniti daripada pendakwaan mengikut Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tertuduh (Ahmad Zahid) pada 2 Julai 2018 dan 3 Julai 2018 membuat dua pernyataan berdasarkan Seksyen 30 (3) (b) Akta SPRM. Dengan kedua-dua pernyataan ini, tertuduh mendedahkan maklumat dan oleh itu di bawah Seksyen 30 (7) Akta SPRM, beliau dilindungi dengan imuniti daripada pendakwaan.

"Kedua-dua pernyataan ini diakui melalui SP89 (saksi pendakwaan ke-89 Fairul Rafiq Hamirudin), pegawai penyiasat pertama yang dipanggil pihak pendakwaan.

"Beliau mengesahkan dalam pemeriksaan balas bahawa beliau mempunyai akses dan hak penjagaan pernyataan di atas. Beliau juga mengesahkan bahawa beliau telah memeriksa pernyataan itu," katanya semasa berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Bagaimanapun, Nurul Hidayah menulis: "Oleh kerana pihak pendakwa ingin meneruskan pendakwaan ke atas tertuduh, mereka meminda peruntukan Seksyen 30(7) SPRM pada 1 Oktober 2018."