Kerajaan sedang mengkaji aspek perundangan untuk membicarakan dalang pencerobohan Lahad Datu, Sabah di mahkamah negara ini.

Namun, ketiadaan perjanjian ekstradisi dengan Filipina menjadi penghalang kerana Jamalul Kiram tidak boleh dibicarakan di Malaysia.

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peguam negara kini mengkaji aspek perundangan untuk mendakwa mereka yang terbabit.

Ia termasuk melihat pelbagai aspek dan peruntukan lain.

“Oleh kerana kita tidak ada perjanjian ekstradisi dengan Filipina maka Jamalul Kiram setakat ini tidak boleh dibicarakan di mahkamah di Malaysia.

“Namun saya yakin peguam negara sedang mengkaji beberapa aspek perundangan dan jika terdapat kolaborasi dengan pihak Filipina, maka peguam negara tentunya akan mengambil tindakan untuk memohon keizinan daripada pemerintah Filipina bagi membicarakan Jamalul Kiram ini di Malaysia,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama warga tentera di hangar Rejimen ke 3 Artileri Diraja, Kem Kamunting.

Hadir sama Brigedier Jeneral Datuk Md Dzahir Abdul Rashid, Adun Kamunting, Datuk Mohamed Zahir Datuk Abdul Khalid, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Salimin Ahmad dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.

Terdahulu Zahid menyampaikan kenaikan pangkat kepada 203 anggota tentera dari 13 pasukan dari kawasan Taiping.